Kamis, 13 Februari 2014
Gagal curi barang berharga

Mangsa menunjukkan siling bilik air yang ditebuk suspek.
KUALA KRAI – Kerana gagal mengumpil jeriji besi, pencuri yang memecah masuk kediaman seorang guru cuma sempat melarikan komputer riba, kunci kereta dan wang syiling dalam kejadian di Guchil Tiga, dekat sini kelmarin.
Kegagalan mengumpil jeriji besi berkenaan menyebabkan pencuri tidak berjaya melarikan lain-lain barang berharga dalam kejadian antara jam 11 malam hingga 1 pagi itu.
Guru berkenaan, Fariza Mohd Zain berkata, suspek dipercayai masuk ke dalam kediamannya dengan menebuk syiling bilik air di bilik tidur utama rumah berkenaan.
Menurutnya, suspek dipercayai bertubuh kecil kerana dapat menyelinap masuk melalui lubang bersaiz kecil pada syiling bilik air berkenaan.
"Semasa kejadian, saya dan ahli keluarga lain tiada di rumah kerana pulang ke kampung. Syukur kerana pencuri gagal melarikan barangan berharga selepas tidak berjaya mengumpil jeriji besi.
"Ini merupakan kejadian ketiga berlaku di kediaman saya. Kejadian sebelum ini berlaku ketika sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini," katanya ketika ditemui di kediamannya, tengah hari semalam.
Fariza memaklumkan, kerugian dianggarkan sekitar RM2,000 dan lebih sedikit berbanding kes sebelum ini.
Tambahnya, cubaan pencuri memecah masuk kediamannya sebelum ini telah beberapa kali menemui kegagalan dan sejak akhir-akhir ini kecurian kerap berlaku di sekitar kawasan kediamannya.
"Kekerapan berlaku kecurian menyebabkan saya bimbang meninggalkan rumah. Saya harap pihak keselamatan adakan rondaan lebih kerap memandangkan kes pecah rumah kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.
"Kepada masyarkat setempat, saya harap mereka lebih berhati-hati bagi mengelakkan kediaman mereka dimasuki pencuri," katanya.
Berikutan kejadian, Fariza membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai dan merakamkan penghargaan kepada pihak polis kerana memberi kerjasama yang memuaskan hati sepanjang menjalankan siasatan di kediamannya, semalam.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar